Sama ada anda sedang bertarung dengan wave musuh di Swarm, meraikan Pengu’s Party dengan menggabungkan komposisi lama dengan yang baharu, atau berhempas-pulas untuk gelaran Arena God yang sukar dicapai itu, mod permainan boleh wujud dalam pelbagai bentuk. 

Kami boleh menambah pada permainan utama seperti dalam URF atau membawa champion League kepada genre yang baharu sama sekali seperti pertempuran auto atau syurga peluru (bullet heaven). Dengan tahun yang penuh dengan mod permainan yang sedang berjalan, kami ingin bercakap sedikit tentang Swarm, cara sesetengah pasukan permainan kami memikirkan mod dan kesan ini terhadap pemain dan pembangun. 

Baharu, Segar dan (Harapnya) Sangat Menyeronokkan

“Salah satu nilai mod permainan ialah ciri ini mencipta cara yang berbeza untuk mengalami League of Legends,” kata August “Riot August” Browning, Ketua Reka Bentuk Swarm. “Segelintir pemain merupakan penumpu ranked, pemain lain sukakan ARAM, dan sekumpulan lain lebih suka permainan normal. League mempunyai pangkalan pemain yang besar dan pelbagai dan mod ialah cara terbaik untuk berkhidmat kepada pemain yang mahukan pelbagai jenis pengalaman.”

Sepanjang 15 tahun sejarah League, kami mempunyai mod yang menampilkan segala-galanya daripada bola salji hingga Star Guardian. Namun beberapa tahun lalu penciptaan mod baharu dalam League telah berkurangan. 

“Sebelum kami mengeluarkan Arena pada tahun 2023, kami telah menyaksikan kesan pada ekosistem kami apabila kami tidak menyuntik pengalaman baharu yang segar untuk pemain,” kata Eduardo “Riot Cadmus” Cortejoso, Ketua Produk untuk Mod Permainan League. “Pemain memberitahu kami dengan lantang dan jelas bahawa mereka rindukan mod permainan. Pada masa itu kami melihat keperluan untuk menyediakan peta dan ruang permainan baharu, untuk mencipta pengalaman dengan gimik unik dan set peraturan yang tidak wujud dalam League ketika ini. Hal itu menyebabkan kami melabur dalam Arena dengan peta mod itu yang kecil dan mencipta Swarm, yang merupakan genre baharu dengan skema kawalan yang berbeza.” 
 

Peta Arena yang dikemas kini selepas menghabiskan masa di makmal
Peta Arena yang dikemas kini selepas menghabiskan masa di makmal


“Kami melihat mod permainan, dan kami nampak cara melakukan eksperimen yang selamat untuk mencuba idea baharu tentang perkara yang dimaksudkan dengan berseronok dalam ekosistem League,” tambah Sope “Riot Sopebox” May, Ketua Produk Swarm. “Walaupun kami tidak mengatakan bahawa kami akan mengeluarkan permainan jenis R&D sebagai asas untuk mod permainan, kami sedang mencari cara untuk terus menambah baik mod permainan dari semasa ke semasa. Anda boleh menyaksikan hal ini sekarang dengan Arena—kami mengeluarkan mod ini, melihat bahagian yang pemain ingin melibatkan diri dengan mod itu, kemudian membawa mod itu kembali ke makmal. Matlamat kami adalah untuk mencapai tahap yang mampan dalam jangka panjang.” 

Apabila kami memikirkan tentang eksperimen untuk League, kami lebih membayangkan risiko terhitung Heimerdinger dan bukannya makmal gila Singed. Sementara kami mengeluarkan lebih banyak mod permainan, hal ini juga membantu kami memahami dengan lebih baik perkara yang pemain inginkan daripada pengalaman bermain League. 

Belajar Sambil Bekerja

Pada awalnya, League dikeluarkan sebagai permainan yang amat kompetitif dan akan sentiasa memberi pilihan tersebut kepada pemain yang ingin menjadi yang terbaik daripada yang terbaik. Namun League kini mempunyai pangkalan pemain yang lebih pelbagai berbanding dengan yang kami fikirkan pada mulanya—dan perkara yang memberikan pengajaran itu kepada kami adalah satu mod permainan. 

“Dalam tahun-tahun pertama League, kami telah mempelajari banyak perkara daripada ARAM,” kata August. “ARAM telah menunjukkan kepada kami bahawa terdapat keinginan untuk bermain pengalaman seperti League tetapi bukan di Summoner’s Rift, dan bukan dalam suasana yang sangat kompetitif. Hal ini membantu dalam menunjukkan bahawa terdapat pelbagai cara pemain ingin melibatkan diri dengan permainan ini, tidak kira ARAM, normal, ranked, atau hanya menggunakan spell tanpa henti di URF.” 

Kini League telah wujud selama 15 tahun dan ARAM telah menjadi mod tetap untuk 11 daripada tempoh itu. Untuk permainan kami yang lebih muda, seperti Wild Rift, yang akan mencapai tahun keempat permainan, pasukan kami telah melihat ke arah mod permainan untuk membantu dalam memahami khalayak teras permainan tersebut dengan lebih baik. 

“Mod permainan penting untuk dua sebab utama,” kata Yunfei “Riot Vegetabird” Fei, Pengurus Produk Wild Rift yang telah menggarap mod Ruination awal tahun ini. “Pertama, mod membuat permainan terasa hidup dengan kandungan baharu. Dan kedua, mod permainan ialah tempat yang sangat bagus untuk menguji perubahan besar. Jika kami berfikir untuk mengubah sesuatu di Summoner's Rift atau jika kami ingin menukar permainan teras, kami boleh menguji kesan perubahan tersebut dalam mod permainan yang berisiko rendah. Dengan cara itu kami boleh mengetahui sama ada ini adalah perubahan yang kami mahu lakukan kepada permainan secara keseluruhan dan kami mempunyai lebih banyak maklumat tentang cara perubahan itu harus dilaksanakan."
 

Phantom of the Shadow Isles - Kalista menjadi watak utama dalam event Ruination Wild Rift
Phantom of the Shadow Isles - Kalista menjadi watak utama dalam event Ruination Wild Rift


Pada musim panas ini, Wild Rift menampilkan mod yang membawa ubahsuaian Arena ke dalam ARAM. Pasukan kami ingin melihat tahap kuasa ubahsuaian dalam situasi 5v5 berbanding dengan 2v2 di Arena. Hipotesis kami: Lebih banyak pentakill = lebih menyeronokkan?

Sama ada mengajar kami lebih lanjut tentang gelung permainan teras atau berdikari secara kekal, mod permainan mempunyai banyak nilai kepada pengalaman membangunkan permainan. 

“TFT pada asalnya ialah mod permainan,” kata Christina “Riot Xtna” Jiang, Pengurus Produk Kanan Teamfight Tactics. “Kami baru sahaja meraikan ulang tahun kelima kami berkat kepada semua pemain yang telah bermain sejak beberapa tahun lalu. Apabila kami sudah sampai ke tahap yang TFT mula mempunyai mod permainan sendiri, itu terasa seperti peristiwa yang penting.” 

Sekitar ulang tahun kelima tersebut, pasukan kami telah mengeluarkan beberapa mod permainan. Pertama sekali ialah Choncc's Treasure, memberi pemain peluang sebenar untuk melihat Sett mengangkat seluruh papan permainan setelah dia menjadi tiga bintang. Selepas itu, tiba masanya untuk melayan nostalgia dengan Pengu's Party, yang memberikan peluang kepada trait kegemaran lama untuk bercampur dengan meta Inkborn Fables. 
 

Begitu banyak kek sehingga Choncc juga tidak mampu untuk habiskan
Begitu banyak kek sehingga Choncc juga tidak mampu untuk habiskan


“Dengan Pengu’s Party, kami mahu memastikan pemain mempunyai gold dan item yang mereka perlukan untuk mengubah haluan ke komposisi baharu berdasarkan trait ulang tahun yang anda pilih,” kata Xtna. “Kami menggantikan monster standard dengan Cupcake dan Party Crab untuk memberikan ganjaran itu kepada pemain supaya mereka boleh menikmati ulang tahun sambil memiliki banyak gold.”

Jenis mod mesra nasib baik ini menggambarkan bilangan pemain TFT yang suka menikmati permainan sambil turut memberi ruang untuk strategi tambahan yang datang dengan bajet yang lebih terhad dalam queue ranked. Pada masa yang sama, mod itu membantu dalam menyokong model tiga set setahun TFT, yang membolehkan pasukan pembangun mula bekerja dengan lebih awal. 

“Seiring perkembangan TFT, sesuatu yang tidak berubah ialah keinginan pemain TFT untuk kandungan baharu,” kata Xtna. “Itulah sebabnya kami menukar kepada tiga set setiap tahun dan sebab kami melabur dalam event untuk menyampaikan lebih banyak pengalaman baharu dan segar kepada pemain dalam setiap set. Perkembangan berterusan ini merupakan salah satu perkara yang TFT lakukan dengan baik dan itulah yang pemain inginkan apabila mereka masuk queue untuk bermain.” 

Walaupun TFT sudah tentu menunjukkan nilai yang boleh disampaikan oleh mod kepada pemain, kami pastinya tidak menjangka setiap mod menjadi peneraju dalam genrenya. Namun, tiada salah jika itu yang berlaku. 

Keseimbangan Antara PvP dengan PvE

Secara umumnya mod permainan boleh dibahagikan kepada dua jenis pengalaman utama—dan kedua-dua jenis ini mempunyai nilai bergantung pada matlamat yang ingin anda capai. 

Dari satu segi, terdapat mod penceritaan PvE semata-mata seperti Spirit of Hearth-Home, yang memperkenalkan Aurora melalui teka-teki tunjuk dan klik di Ornn’s workshop, dan pengembaraan Ruination Wild Rift baru-baru ini, yang menyaksikan pemain bertempur sambil mengalami kisah Kalista. Mod ini membantu dalam menghidupkan dunia Runeterra, tetapi dengan semua mod PvE, anda akan mencapai had tentang perkara yang ditawarkan oleh pengalaman itu.
 

Ornn bukan seorang yang suka bersungut seperti penampilannya (baiklah, mungkin itu tidak benar)
Ornn bukan seorang yang suka bersungut seperti penampilannya (baiklah, mungkin itu tidak benar)


“PvE akhirnya mempunyai kebolehmainan semula yang terhad, hanya terdapat begitu banyak musuh untuk dikodkan dan kisah untuk diceritakan,” kata Sopebox. “PvP ialah tempat anda mendapat kebolehmainan semula yang hampir tidak terbatas itu. Anda tidak boleh membandingkan metrik kebolehmainan semula bagi sesuatu seperti League dengan permainan seperti God of War, kedua-duanya merupakan pengalaman yang berbeza sepenuhnya tetapi masing-masing hebat dari segi mereka yang tersendiri.”

“Apabila berfikir tentang mod permainan baharu, semuanya bergantung pada pemain sasarannya,” jelas Cadmus. “Bukan semua mod permainan direka bentuk untuk menyokong kitaran penglibatan yang sangat panjang dan apabila itu yang berlaku, kami mereka bentuk dengan mengambil kira perkara itu. Arena ialah contoh hebat tentang sesuatu yang dikeluarkan baru-baru ini yang bertujuan untuk dimainkan semula tanpa had, itulah sebabnya anda telah melihat mod itu kembali lagi tahun ini.”

Pada masa yang sama, Spirit of Hearth-Home telah direka bentuk untuk menjadi pengalaman unik beberapa jam lamanya yang mendalami lore tentang satu champion baharu dan satu yang lebih lama. Arena dan juga Hearth-Home telah mencapai matlamat masing-masing. Apabila bercakap tentang masa dimainkan dan kebolehmainan semula, Swarm terletak di suatu tempat di tengah-tengah dua mod tersebut. 

“Kami banyak berfikir tentang kebolehmainan semula untuk Swarm,” kata August. “Kami tentunya mahukan sesuatu yang anda boleh bermain selama berjam-jam dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk selesai. Namun, kesudahannya, Swarm telah direka bentuk untuk diselesaikan pada tahap tertentu. Jika anda bermain secara konsisten, anda akan berjaya melalui semua peringkat, anda akan berjaya melalui semua pencapaian, dan anda boleh dikatakan telah selesai. Namun jika 10-20 jam itu seronok dimainkan, tidak mengapa. Dan jika pemain benar-benar menyukai mod ini, banyak yang boleh kami lakukan untuk meningkatkan kebolehmainan semula mod ini dalam versi masa hadapan.” 
 


Syurga Peluru Bertemu Dengan Anima Squad

Swarm sudah agak lama dikeluarkan, dan walaupun ramai daripada anda telah membawa Anima Squad dalam beberapa misi, kami tidak akan membongkarkan semua yang ditawarkan oleh mod itu di sini. Namun, rumusan ringkas mod ini ialah: Co-op + PvE + Anima Squad + syurga peluru.

“Jika anda peminat tegar genre survival syurga peluru atau hanya mencari cara lain untuk bermain League bersama-sama rakan, mod ini adalah untuk anda,” kata August. "Jika anda membayangkan perasaan bermain champion League of Legends dalam permainan sebegitu, kini anda boleh melakukannya. Itulah keistimewaan mod permainan, yang membolehkan anda mencipta pengalaman unik untuk pemain yang boleh menjadi sangat berbeza daripada permainan teras League. Mod permainan juga menyediakan lebih banyak cara untuk pemain bermain dengan rakan-rakan. Jika kumpulan rakan anda tidak boleh bersetuju antara keutamaan ranked / ARAM / normal, Swarm memberi pemain cara baharu untuk mengalami League bersama-sama.”

Swarm bertujuan untuk mempunyai sesuatu untuk semua orang yang menikmati League—dan juga orang yang bertahun-tahun sudah tidak bermain. Mod ini meletakkan Anima Squad di empat peta baharu untuk memainkan cerita dengan tahap kesukaran tambahan yang bertujuan untuk mencabar pemain syurga peluru yang lama. Namun pada terasnya, Swarm bertujuan menyediakan cara yang lebih santai untuk menikmati dunia League bersama-sama rakan semasa event Anima Squad musim panas kami. 

“Mod ini bukan sahaja menyediakan cara bekerjasama berisiko rendah untuk melibatkan diri dengan League of Legends, mod ini juga bertujuan untuk menjadikan event musim panas ini benar-benar menyerlah,” tambah Cadmus. “Mod ini direka bentuk seperti Odyssey atau Star Guardian Invasion—ini adalah detik yang diingati pemain selama bertahun-tahun. Kami mahu Swarm menjadi detik sentuhan tinggi yang sama bagi pemain.”

Kami gembira dengan penerimaan Arena dan Swarm dan kemungkinan yang mod ini telah buka untuk masa hadapan. Pada masa yang sama, kami masih memainkan watak Heimerdinger dalam mencipta pengalaman masa hadapan yang bertujuan untuk menjadi sesuatu yang baharu, segar dan (harapnya) menyeronokkan.