TLDR: Nama Summoner akan ditamatkan pada 20 November, tetapi kami telah membuat beberapa kemas kini besar pada rancangan itu: membuang kos untuk penukaran ID Riot dan mengaktifkan penukaran percuma setiap 90 hari.
Sudah kira-kira sebulan sejak kami mengumumkan rancangan untuk memindahkan semua akaun ke ID Riot dan kami telah membuat beberapa pelarasan besar pada pendekatan kami.
Sebab kami akan menggunakan ID Riot selepas ini
Sebelum menerangkan pelarasan tersebut, kami ingin mengakui bahawa terdapat pemain yang suka menjadi satu-satunya pemain dengan Nama Summoner mereka pada pelayan mereka yang berharap untuk melihat kami menarik balik perubahan ini. Kami memahami kekecewaan anda, tetapi kami berpendapat ini masa yang sesuai untuk membuat perubahan itu:
Proses memilih Nama Summoner yang unik merupakan pengalaman pemain baharu yang mengerikan. Pemain baharu League dan TFT memerlukan purata 5 minit dan 8 percubaan ditolak untuk memilih nama unik, dan beribu-ribu pemain menyerah sebelum mencari nama yang mereka suka. Sekadar melengkapkan tutorial tidak sepatutnya sesukar ini.
Penggunaan nombor dan simbol untuk mengacah nama yang sebenarnya mereka mahukan adalah sesuatu yang biasa berlaku bagi pemain. Kami berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk mempunyai lebih daripada satu Aatrox pada pelayan berbanding dengan berbilang variasi 447r0x.
Hal ini juga membantu dalam membersihkan hutang teknologi daripada menyokong dua sistem penamaan yang berbeza dan membebaskan jurutera untuk melakukan perkara lain.
Secara berasingan, beberapa pemain merentas VALORANT, Legends of Runeterra dan Wild Rift sudah biasa menukar ID Riot mereka setiap 30 hari. Sejujurnya, niat kami dengan ID Riot tidak pernah bahawa ID tersebut akan ditukar dengan kerap; kami mahu ID Riot menjadi cara yang berkekalan untuk mengenal pasti diri anda kepada rakan dan untuk pemain mengenali anda dalam permainan. Namun begitu, kami faham 365 hari adalah tempoh yang terlalu lama antara penukaran dan kami akan mengurangkan tempoh itu kepada 90 hari (lebih lanjut mengenai perkara ini terdapat di bawah).
Kami juga mendengar pendapat daripada pemain yang suka menggunakan nama yang berbeza dalam League/TFT berbanding dengan nama mereka gunakan di VAL/LoR/WR. Kami faham, tetapi kami berharap lambat laun anda akan menerima sifat mempunyai satu identiti merentas seluruh ekosistem. Jadi biarlah Rift tahu bahawa anda “Her Phoenix #4eva” atau tunjukkan kebanggaan luar meta anda dengan “ChoSupport #FEAST” dalam satu permainan Spike Rush.
Cara kami mengubah rancangan
Selepas menyemak maklum balas daripada pemain di seluruh dunia dan berbilang perbincangan dalaman, kami telah membuat keputusan mengenai beberapa pelarasan:
Kos bagi Penukaran ID Riot: Kami mahu ada sesuatu yang membuatkan anda berfikir dua kali untuk menukar nama anda. Sebelum ini, bagi Nama Summoner, Blue Essence atau RP digunakan untuk tujuan ini. Bagi ID Riot, masa akan digunakan. Di bawah rancangan baharu kami, kami fikir kami mendapati keseimbangan yang betul dengan masa sahaja. Jika ternyata pendekatan ini tidak mencapai matlamat yang betul, kami membiarkan pintu terbuka kepada pengubahsuaian pada masa hadapan, termasuk menambahkan pilihan berbayar atau diperoleh bagi penukaran ID Rioter yang lebih pantas.
Kekerapan Penukaran Nama: Anda sepatutnya mempunyai satu hubungan dengan nama anda, tetapi kami tidak mahu anda berasa terperangkap dengan nama yang anda tidak suka. 365 hari adalah penantian yang lama dan berdasarkan data tahun lepas, tiga bulan sepatutnya cukup untuk memenuhi tujuan itu. Selepas ini, anda akan berpeluang menukar ID Riot anda secara percuma sekali setiap 90 hari, bermula dengan kemas kini ini.
Keunikan Nama: Kami mendengar kebimbangan mengenai pemain dengan nama yang sama dalam permainan yang sama. Berdasarkan data daripada permainan yang kami sudah menggunakan ID Riot, ini adalah senario yang jarang berlaku, tetapi untuk berjaga-jaga, kami telah mengemas kini papan mata permainan untuk sentiasa memaparkan hashtag apabila berbilang pemain dengan nama yang sama berada dalam permainan yang sama. Dalam pengumuman pertama kami, kami juga sepatutnya lebih jelas bahawa anda akan dapat melihat bahagian hashtag nama pada bila-bila masa dengan menuding nama pemain itu pada papan mata dan hashtag itu boleh disesuaikan, bukan rawak seperti cara beberapa permainan lain menetapkan nama.
Kebimbangan Penyamaran: Sesetengah pencipta kandungan dan pemain profesional memberitahu kami bahawa mereka bimbang akan penyamaran di bawah sistem ID Riot. Kami fikir kami mempunyai satu penyelesaian bagus yang sedang diusahakan dan kami akan berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu apabila butirannya sudah muktamad.
Langkah Seterusnya
Perubahan ini akan mula dilancarkan pada hari Isnin, 20 November, dengan masa yang tepat bergantung pada rantau anda. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai butiran dalam Soalan Lazim yang dikemas kini di sini.