Bagi orang yang meluangkan masa di ruang dalam talian, sama ada dalam permainan, media sosial, atau mana-mana tempat pertemuan maya yang lain, bukan rahsia lagi bahawa orang tidak sentiasa berkelakuan baik antara satu sama lain. Dan walaupun kebanyakan orang biasanya tidak berkelakuan jahat kepada orang lain, namun hanya dengan kehadiran beberapa pemain yang mengganggu, maka persekitaran yang tidak selesa untuk semua orang akan wujud.

Hampir semua orang mahu perkara ini berubah. Kami juga begitu. Dan kami sedang giat mencari cara untuk menjadikan permainan kami lebih selamat, lebih inklusif dan yang utamanya lebih menyeronokkan untuk semua orang. Cabaran yang muncul untuk mencapai matlamat ini tiada hentinya dan tiada juga penyelesaian yang mudah.

Walaupun pasukan Riot mengambil tindakan terhadap tingkah laku mengganggu yang dilaporkan dan disahkan, kami juga sedang mencari penyelesaian jangka panjang. Inilah peranan reka bentuk Dinamik Pemain. Matlamat Dinamik Pemain sebagai satu disiplin reka bentuk adalah untuk membina struktur permainan yang memupuk pengalaman sosial yang lebih bermanfaat dan mengelakkan interaksi yang memudaratkan sejak awal lagi. Ringkasnya, disiplin ini bertujuan untuk menjawab soalan: “Bagaimanakah kami memupuk dan mengekalkan komuniti yang sihat dalam talian?”

Siaran ini akan memberikan kemas kini tentang cara reka bentuk Dinamik Pemain telah berkembang sejak kali terakhir kami bercakap tentangnya dan sejak disiplin itu diperkenalkan secara rasmi di GDC pada tahun 2020. Kami ingin memberi anda gambaran tentang bahan dalaman yang kami gunakan untuk memperkenalkan Rioter kepada seni ini dan cara kami cuba menerapkan pemikiran Dinamik Pemain merentas semua hasil kerja kami.

Ini adalah bahagian pertama daripada siri dua bahagian yang memperkenalkan idea reka bentuk Dinamik Pemain dan cara ia memberi kesan kepada pengalaman bermain. Ini adalah topik penting yang kami tidak ambil mudah, itulah sebabnya kami berdedikasi untuk membuka tirai dan menunjukkan kepada anda cara kami berusaha untuk menjadikan dinamik pemain lebih baik.

Apakah itu Reka Bentuk Dinamik Pemain?

Inilah cara kami menerangkan Dinamik Pemain secara dalaman selama beberapa tahun kebelakangan ini:

 

riot-games-player-dynamics
Dari "Dinamik Pemain 101" (pembentangan dalaman Riot)

 

Seperti yang diterangkan oleh Marc Merrill, salah seorang pengasas bersama Riot, Dinamik Pemain ialah "pendekatan moden" untuk membangunkan permainan dalam talian dan persekitaran sosial. Matlamat utama kami adalah untuk memenuhi janji permainan kami dan memastikan pengalaman sosial permainan tersebut memberi kepuasan maksimum melalui reka bentuknya. Menangani tingkah laku mengganggu bukanlah tujuan Dinamik Pemain – itu hanya sebahagian daripadanya.

Walau bagaimanapun, kami menyedari bahawa tingkah laku yang mengganggu adalah satu kebimbangan yang besar, jadi mari kita bincangkan tentang dua konsep daripada sains sosial yang telah terbukti berkesan dalam membantu Rioter memahami cara pereka bentuk Dinamik Pemain berfikir.

Konsep pertama diringkaskan dengan baik dalam buku Prosocial:

“Salah satu penemuan paling kukuh dalam psikologi sosial adalah kita cenderung untuk mengaitkan tingkah laku buruk pada orang lain dengan niat peribadi, walhal ia sering disebabkan oleh kekangan situasi.”

Konsep kedua yang berkaitan ialah Persamaan Tingkah Laku Lewin:

 

riot-games-player-dynamics-lewin-behavior-equation
Dari "Dinamik Pemain 101" (pembentangan dalaman Riot)

 

Pada asasnya apa yang kelihatan disengajakan selalunya hanya mengikut situasi, dan untuk mengubah tingkah laku, persekitaran harus diubah.

Ini seharusnya memperkasa pencipta permainan kerana kami mempunyai tugas yang cukup berat dalam menentukan situasi dan persekitaran permainan. Pereka bentuk boleh melakukan lebih banyak daripada yang mereka mungkin sedar pada mulanya untuk mengelakkan pergeseran sosial, yang boleh menjadi tingkah laku yang mengganggu. Tujuan memformalkan Dinamik Pemain dalam disiplin reka bentuk adalah untuk membantu menunjukkan cara untuk mengelakkan pergeseran sosial tersebut kepada para pereka.

Di sini saya ingin jelaskan, kami menyedari bahawa kami tidak boleh menghapuskan semua tingkah laku yang mengganggu melalui reka bentuk. Kami juga menyedari bahawa kadangkala pemain melakukan tingkah laku memudaratkan dengan sengaja. Tingkah laku sebegini tidak sepatutnya wujud di mana-mana pun. Pada pandangan kami, sesiapa yang berulang kali melakukan tingkah laku yang memudaratkan hanya akan mengeluarkan diri mereka sendiri daripada permainan.

Tetapi apa yang boleh kami lakukan, dan terdapat banyak penyelidikan untuk menyokong perkara ini, adalah mengurangkan kemungkinan gangguan, meningkatkan peluang untuk pengalaman yang lebih positif dan membina daya tahan dalam pemain dan komuniti.

Asas Dinamik Pemain

Dalam pelbagai aspek, kami cuba menterjemahkan kira-kira 150 tahun sains sosial kepada ciri dan perkhidmatan untuk permainan dan ekosistemnya untuk mencipta pengalaman pemain yang lebih baik. Asas Dinamik Pemain dalam industri permainan telah wujud sejak bertahun-tahun lamanya. Kami menganggap beberapa permainan dan hasil karya sebagai peristiwa penting dalam ruang ini:

 
riot-games-history-of-player-dynamics
Dari "Dinamik Pemain 101" (dek dalaman Riot)

 

Tentu sekali, sesetengah daripadanya merupakan permainan berbilang pemain yang sememangnya hebat. Sesetengah permainan pula dianggap sebagai perintis Dinamik Pemain yang luar biasa. Habitat (1985) pastinya antara yang terawal menangani isu tingkah laku secara aktif - dan pada masa itu orang membayar untuk Internet pada kadar setiap minit!

Riot mula terlibat dengan Dinamik Pemain pada tahun 2012 dengan pasukan Tingkah Laku Pemain. Pada masa ini kami telah banyak belajar, termasuk cara kami boleh melakukan perkara secara berbeza apabila memulakan sesuatu permainan dari awal. Kami mula membangunkan Dinamik Pemain secara rasmi sebagai satu subdisiplin reka bentuk pada tahun 2018 dan mengumumkannya pada tahun 2020.

Dinamik Pemain berkongsi banyak kemahiran yang sama seperti reka bentuk permainan dan UX, tetapi ia juga memerlukan beberapa kemahiran yang biasanya tidak diperlukan oleh disiplin-disiplin ini:

 

riot-games-player-dynamics-toolkit
Dari "Dinamik Pemain 101" (pembentangan dalaman Riot)

 

 

Dinamik Pemain mendapat namanya daripada bidang dinamik sosial yang mapan. Walaupun sesetengah syarikat memanggil ini "reka bentuk sosial," kami lebih suka penekanan pada "pemain" dan untuk mengelakkan salah tanggapan umum bahawa ini hanya tentang ruang sembang.

Keadaan Semasa Reka Bentuk Dinamik Pemain

Jadi bagaimanakah keadaan kami sekarang?

Kerja Dinamik Pemain kini sedang diusahakan di pelbagai bahagian syarikat ini. Daripada permainan peringkat awal (seperti Projek L), hinggalah kepada pasukan khusus untuk produk langsung (League, VAL, Wild Rift), Dinamik Pemain Pusat dan inisiatif baharu yang bertumpukan peminat di Platform, dan komuniti amalan kami yang semakin berkembang.

Kami beroperasi umpama hab dengan ruji, dengan kumpulan PKS berpusat kami di Platform menyelaras dengan pasukan di bahagian lain Riot. Setiap bahagian ini menangani cabaran yang berbeza pada peringkat pembangunan yang berbeza. Masing-masing akan menyatakan secara individu tentang ciri dan perkhidmatan yang mereka bangunkan apabila sudah sedia.

Bercakap tentang peringkat pembangunan, gambar rajah ini menunjukkan cara kami menerangkan Dinamik Pemain dalam kitaran hayat sesuatu permainan:

 

riot-games-player-dynamics-game-development-process
Dari "Dinamik Pemain 101" (pembentangan dalaman Riot)

 

Dalam proses prototaip, prapengeluaran dan pengeluaran, kerja Dinamik Pemain mungkin melibatkan segala-galanya daripada mekanik permainan hinggalah kepada reka bentuk tahap dan naratif. Semakin dekat pasukan pembangunan dengan pelancaran, semakin banyak perbualan beralih ke arah metagame dan sistem komunikasi. Tingkah laku yang mengganggu berkemungkinan besar berlaku secara semula jadi apabila terdapat orang yang bermain permainan itu, maka indeks dan pengurangan risiko menjadi topik hangat apabila semakin dekat dengan pengeluaran Alpha. Sebaik sahaja dilancarkan, perubahan cenderung menjadi lebih halus atau ditambah ke dalam dan sekitar sistem sedia ada.

Pada peringkat ini, kami mempunyai pereka bentuk yang menumpukan pada semua bahagian yang disenaraikan di atas dan banyak lagi, seperti Platform yang mempertimbangkan keseluruhan ekosistem sosial. Sesetengah daripada mereka melakukan kerja reka bentuk Dinamik Pemain secara eksklusif dan segelintir memegang peranan "Pereka Dinamik Pemain." Antara lain, mereka mereka bentuk ciri dan perkhidmatan; berunding dengan berbagai-bagai pasukan; dan membangunkan rangka kerja, alat dan bahan pengajaran.

Berikut merupakan beberapa tangkapan skrin daripada kursus kilat dalaman yang kami gelar “Dinamik Pemain 101”:

 

riot-games-the-work-of-player-dynamics
Perkara yang dilakukan oleh pereka bentuk Dinamik Pemain
riot-games-the-common-player-dynamics-topics
Perkara yang banyak difikirkan oleh pereka bentuk Dinamik Pemain
riot-games-player-dynamics-influence-model
Apa yang berlaku dalam kehidupan berlaku dalam permainan

 

Bahan-bahan ini membantu dalam menskalakan pemikiran Dinamik Pemain dan kami mahu setiap Rioter dilengkapi dengan alat dan pengetahuan Dinamik Pemain yang mencukupi untuk membuat keputusan dinamik sosial yang baik tanpa mengira peranan mereka.

Kami juga mahu anda diperlengkapkan.

Dengan satu frasa mudah, sesiapa sahaja boleh mula menerapkan pemikiran Dinamik Pemain ke dalam kerja dan kehidupan mereka: terapkan pemikiran pelbagai. Siaran kami yang seterusnya akan menumpukan pada bahasa yang digunakan oleh pereka bentuk Dinamik Pemain dan cara ia membantu membimbing kami ke arah persekitaran sosial yang lebih sihat.