Sambil sebuah pesawat terbang di atas Istanbul, Turki, Ejen VALORANT turun untuk mencari sumber satu mesej ugutan. Setelah mendarat, mereka disambut dengan asap hitam yang menyelubungi mereka dalam mimpi ngeri mereka sendiri. Fade, Ejen 20 dalam Protokol VALORANT, diterangi oleh anak panah Sova ketika dia berhadapan dengan pasukan itu.
Satu kemasukan yang baik untuk Initiator yang kelam ini. Tetapi di sebalik persona yang gelap, pekerjaan sebagai seorang pemburu upahan dan keupayaan untuk memanfaatkan mimpi ngeri, adalah seorang wanita dari Turki.
“Sebagai seorang wanita, anda perlu lebih peka dengan persekitaran anda,” kata Nihan Dinç, penyelia pengurusan jenama yang bekerja di pejabat Riot di Istanbul. “Fade kuat, dia agak menakutkan. Tetapi dia juga sentiasa peka dengan persekitarannya, dia sentiasa menjejaki lokasi setiap orang. Itulah pengalaman yang dialami oleh ramai wanita.”
Terdapat banyak keputusan yang perlu dibuat semasa mencipta ejen baharu. Pasukan reka bentuk watak VALORANT perlu memikirkan peranan yang mereka mainkan dalam permainan, cara mencipta identiti unik Ejen tersebut dan cara menyesuaikan mereka dengan Protokol VALORANT. Mereka juga perlu menentukan identiti teras Ejen tersebut, satu keputusan yang selalunya bermula dengan tempat asal mereka.
Mimpi adalah sebahagian besar budaya Turki, jadi apabila Fade berurusan dengan mimpi ngeri, asal usul Turkinya sesuai secara semula jadi. Selain itu, terdapat ramai pemain tegar VALORANT di Turki yang akan dapat melihat diri mereka diwakili dalam permainan. Jadi untuk memastikan Fade adalah seorang warga Turki yang tulen, pasukan reka bentuk watak VALORANT bekerjasama secara langsung dengan Rioter di Istanbul. Keputusan utama pertama ialah jantina Ejen tersebut.
“Wanita kurang mendapat perwakilan dalam permainan, begitu juga dengan Turki sendiri,” kata Bahadir Guven, pengurus komuniti yang telah bekerja di pejabat Istanbul sejak 2012. “Kami mahu pemain kami mempunyai perwakilan wanita yang kuat. Seseorang yang boleh mereka hormati, seseorang yang mewakili budaya mereka dan tempat mereka dalam dunia permainan.”
Perincian
Setelah pasukan VALORANT menetapkan asas, mereka beralih kepada perincian pula. Segala-galanya tentang Fade, daripada pakaiannya, kebolehannya hinggalah kepada baris suaranya, berakar umbi dalam budaya Turki. Perincian yang paling menonjol ialah manik mata syaitan Turki. Dengan sejarah yang menjangkau ribuan tahun, penggunaan mata syaitan masih meluas di seluruh Turki hari ini.
“Jika anda masuk ke rumah orang Turki, anda akan melihat mata syaitan di sana,” kata Bahadir. “Ia merupakan tradisi dan simbol yang bermula sejak Dewa Langit, Tengri. Manik mata syaitan menjauhkan niat iri hati, roh jahat, nasib malang dan kejahatan. Sebaik sahaja kami mengetahui bahawa Fade berurusan dengan mimpi ngeri, kami terus terfikirkan manik mata syaitan itu sebagai cara untuk melindunginya daripada mimpi ngerinya sendiri walaupun dia melihat mimpi ngeri orang lain.”
Fade memakai mata syaitan di tengah-tengah pakaiannya supaya boleh kekal berwaspada terhadap apa-apa roh jahat. Tangannya dihiasi inai, karya seni tubuh dengan sejarah yang berusia lebih 5,000 tahun.
“Inai bukan khusus untuk orang Turki sahaja tetapi ia sering digunakan dalam majlis-majlis penting,” kata Sertac Kilici, pengurus pasukan di Istanbul yang menyesuaikan semua permainan kami khusus untuk Turki. “Ia mewakili satu upacara peralihan. Anda sering melihatnya apabila orang berkahwin. Bagi Fade, inai ini bukan sahaja terdapat pada tangannya, tetapi juga pada ability ultimatenya."
Ultimate Fade adalah salah satu visual yang paling hebat dalam VALORANT setakat ini. Corak inai yang kompleks tersebar dari bebolanya yang meliputi seluruh kawasan. Jika lawan ditangkap, mereka akan decay, deafen dan dijejaki.
Pastikan anda tidak ditangkap, kerana jika ia berlaku, sukar untuk menghilangkan perasaan bahawa Fade sedang menunggu anda di mana-mana sahaja. Dan jika dia memang sedang menunggu, anda tidak akan dapat mendengarnya. Dia akan menjejaki anda seperti kucing pada waktu malam.
“Kucing merupakan sebahagian besar daripada budaya Turki,” kata Nihan. “Di Istanbul, dan di mana-mana sahaja di Turki, anda akan menemui kucing terbiar yang diberi makan oleh orang tempatan. Mereka adalah sebahagian daripada sesuatu kawasan kejiranan. Jika anda melihat kucing di hadapan masjid, itulah cara untuk mengetahui bahawa anda berada di Istanbul. Orang Turki juga mempercayai bahawa kucing boleh melihat dan merasakan tenaga negatif yang berkait rapat dengan identiti Fade.”
Dan pada kasut Fade, inspirasi kucingnya diwakili oleh reka bentuk kaki kucing di tapaknya. Bagi Fade dan pasukan reka bentuk watak VALORANT, perwakilan itu semuanya ada dalam perinciannya. Matlamat pasukan ini adalah untuk menjadikan Fade seperti orang Turki sebenar - bukan hanya satu stereotaip.
Di Sebalik Kegelapannya, Identiti Fade Terserlah
“Apabila kami mula-mula memberitahu pemain bahawa seorang Ejen Turki akan datang, kami terus mendapat maklum balas daripada pemain,” kata Sertac. “Mereka berkata 'kami tidak mahu melihat watak dengan tarbus, kami tidak mahu melihat watak dengan unta.' Begitulah orang Turki melihat diri mereka diwakili secara salah oleh dunia Barat dan mereka adalah lebih daripada itu, kami adalah lebih daripada itu.”
Jadi apabila pemain di Turki melihat Fade buat kali pertama, reaksi mereka datang mencurah-curah. Dalam kalangan pemain di seluruh dunia yang mengatakan “mommy” dan “woof woof”, ada juga cerminan sebenar perwakilan yang jujur.
“Pemain berkata 'oh, ini seorang gadis di Kadıköy,' iaitu sebahagian daripada pusat bandar Istanbul yang popular dengan golongan muda,” kata Bahadir. “Seronok melihat watak Turki tidak perlu berpandukan pada sesuatu yang kuno dalam budaya kami untuk mewakili Turki. Fade ialah seseorang yang mungkin anda lihat di jalanan Istanbul, dan itulah yang kami suka tentangnya.”
“Ada pemain lain berkata ‘Saya agak pasti saya pernah melepak dengan gadis ini dulu,’” tambah Irem Yildiz yang bekerja dalam komunikasi pemasaran di Istanbul. “Pemain Turki melihatnya sebagai seseorang yang mereka tahu atau kenal. Itu adalah perkara yang paling penting bagi kami.”
Walaupun pemain Turki akan melihat diri mereka dicerminkan oleh penampilan Fade, mereka juga boleh tertarik dengan gaya permainannya. Beberapa pemain VALORANT terbaik di dunia berasal dari Turki, termasuk Mehmet Yağız "cNed" İpek, duelist elit untuk Acend yang membantu memimpin pasukannya menjadi juara dunia pertama VALORANT pada tahun 2021.
“Gameplay Fade dan kedudukannya dalam kalangan Ejen lain ialah tempat yang baik untuk pemain Turki,” kata Bahadir. “Pemain Turki suka menyerlah secara individu. Mereka suka melawan musuh satu lawan satu. Oleh itu, Fade yang boleh menjejaki Ejen lawan dan menghentikan pandangan dan pendengaran mereka daripada pasukan mereka, memudahkan pemain Turki untuk mengejar lawan yang sememangnya gemar dilakukan oleh mereka dari dulu lagi.”
Dalam VALORANT Champions Tour dan juga VALORANT Game Changers, pemain Turki sentiasa menonjol. Walau apa pun cara Fade menyesuaikan diri dengan meta, sudah semestinya pro dari Turki akan mengetuai gerakan untuk memikirkan caranya.
“Saya tahu orang ramai benar-benar akan memiliki Ejen ini, untuk melindungi kemahiran Ejen ini. Kami berharap kami tidak menjadikannya terlalu kuat kerana jika kami perlu nerf Fade, saya rasa kami perlu meningkatkan keselamatan kami,” Nihan tertawa. “Mempunyai seorang Ejen Turki adalah satu perkara yang besar untuk seluruh komuniti Turki. Kami sudah nampak betapa dia disayangi oleh komuniti ini dan kami berasa sangat gembira."
Sambil kisah Fade terus berkembang, hubungannya dengan Ejen VALORANT yang lain, sumber kuasa misterinya dan hubungannya dengan negara asal akan menjadi lebih jelas. Sementara itu, selamat memburu mimpi ngeri.