Melewati jalanan Mexico City, anda akan melihat deretan penjual dengan gerai yang penuh dengan topeng berwarna-warni. Itu merupakan topeng Luchadores, ahli gusti Mexico yang melakukan aksi akrobatik dengan gaya yang penuh dramatik. Sukan ini ialah Lucha Libre atau ringkasnya Lucha dan ia adalah ruji budaya Amerika Latin. 

Jadi dengan kedatangan Worlds ke Amerika Latin buat kali pertama, Rioter di pejabat Mexico City kami terpaksa menjawab soalan: Bagaimanakah kami mengalu-alukan Worlds ke Mexico dengan gaya kami yang tersendiri? 

Lucha merupakan jawapannya. 

“Kami mahu melakukan sesuatu yang mewakili Mexico City, sesuatu yang ikonik dan mempunyai cita rasa tempatan,” kata Santiago Duran, Pengurus Pemasaran Kanan untuk Riot Games Amerika Latin. “Tetapi kami mahukan sesuatu yang bukan klise juga. Kami telah memikirkan banyak idea dan akhirnya, seseorang dalam pasukan bertanya ‘bagaimana jika kami melakukan mascaras de Lucha, topeng gusti?’”

Jadi pasukan kami telah membuat beberapa topeng yang berbeza. Mereka pergi ke sebuah keluarga yang telah membuat topeng untuk ahli gusti di seluruh Mexico selama beberapa generasi untuk mencipta topeng bertemakan Worlds yang berkualiti tinggi.

 

riot-games-worlds-2022-mexico-city-lucha-mask

 

“Kami akhirnya membuat empat versi topeng, yang dibuat oleh tukang-tukang tempatan,” kata Santiago. “Topeng itu buatan tangan, sangat lasak, dan berkualiti tinggi. Topeng tersebut merupakan topeng gusti sebenar, tersedia untuk gelanggang. Dan terdapat juga unsur-unsur topeng gala, topeng yang dibuat untuk acara glamor. Kemudian kami juga membuat versi topeng yang lebih ringkas supaya setiap orang yang datang ke Worlds akan pulang dengan topeng mereka sendiri.”

Dengan perincian yang indah, topeng-topeng ini menyerlah di bawah sinaran cahaya sambil mengalu-alukan semua hadirin ke arena di Artz Pedregal di Mexico City. Sebaik sahaja pintu terbuka, barisan terbentuk apabila setiap peminat mengambil topeng mereka, kebanyakannya terus memakai topeng tersebut sepanjang hari itu.

Topeng itu dihiasi dengan slogan yang mewakili bandar dan acara tersebut. Mexico City terletak di tengah-tengah di atas bahagian mata, CDMX, singkatan untuk Ciudad de México, di sebelah kanan, play-in di sebelah kiri, dan akhirnya, slogan Worlds untuk tahun 2022 “The One and Only” di bawah bahagian mulut. 

“Kami berjenaka bahawa nama Worlds Luchadore ialah ‘El One and Only,’ kata Mariano Vives sambil tertawa, Pengarah Kreatif untuk Riot Games LATAM. “Lucha adalah unik kepada bandar kami dan menjadi seorang gladiator bertopeng di arena itu, ia penting.”

 

riot-games-worlds-2022-mexico-city-play-ins

 

Sekilas pandang, mungkin tidak terdapat banyak persamaan antara pelakon tinggi melayang yang melompat melalui tali untuk menghantar lawan terbang ke arah dinding dan aksi di rift. Tetapi apabila anda menyelaminya dengan lebih mendalam, persamaannya akan muncul, dan bukan hanya kerana sepakan kuat Lee Sin tampak biasa di gelanggang gusti. 

“Tiada seri dalam gusti Mexico,” jelas Santiago. “Sama seperti dalam League, semestinya ada pemenang. Jadi ‘The One and Only’ benar-benar sepadan dengan Lucha kerana ia merupakan representasi konfrontasi, pertempuran, dan, pada akhirnya, mesti ada seorang pemenang.” 

Dan itu bukan satu-satunya persamaannya. Seperti Worlds, beberapa perlawanan Lucha terbesar menampilkan jalan cerita antarabangsa ketika ahli gusti dari AS, Jepun dan negara Amerika Latin yang lain naik ke pentas untuk berdepan dengan ahli gusti Mexico. 

Dalam League, terdapat jalan cerita di luar dan dalam rift kerana setiap perlawanan menceritakan kisah dan mengikuti satu naratif. Dari First Blood, hingga detik Dragon muncul, hingga tarian mengelilingi Baron, hingga team fight yang penting itu. 

“Terdapat cerita dalam Lucha,” kata Mariano. “Saya sedang dibelasah kemudian saya yang membelasah. Ia seperti tarian, ia sangat berunsur teater dan ia mempunyai satu naratif. Dan semuanya terbina kepada saat yang menarik apabila anda melihat ahli gusti itu terbang dan anda mahu terbang bersama mereka.” 

Malah format Lucha adalah serupa dengan cara peminat mengalami League of Legends semasa peringkat play-in di arena di Artz Pedregal. Semalaman yang penuh Lucha, serupa dengan format dalam liga pertarungan profesional lain seperti tinju atau UFC, juga akan menampilkan siri pertarungan berbeza dengan lima hingga sepuluh perlawanan berlaku dalam satu malam. Untuk beberapa hari pertama Worlds, lapan perlawanan berlaku setiap hari apabila pasukan baharu naik ke pentas dengan jalan cerita baharu bersama mereka. 

Tetapi persamaan terbesar merupakan kemahiran persembahan. 

“Apabila anda melihat salah satu pertandingan langsung kami seperti Worlds, matlamat kami adalah untuk mengadakan persembahan,” kata Santiago. “Sudah tentu ia juga berlaku dalam sukan lain tetapi cara kami menggunakan skrin dan lampu, cara yang menjolok mata untuk mempamerkan sesuatu perlawanan League of Legends, ia sama dengan unsur teater dan hiburan yang berlaku dalam gusti.” 

Tetapi, terdapat satu perbezaan besar. Walaupun pemain, dan Rioter, suka bergurau tentang kewujudan skrip untuk Worlds, tiada sesiapa yang benar-benar tahu pasukan yang akan menjulang Summoner's Cup di Chase Center pada 5 November. Walaupun banyak improvisasi berlaku antara Luchadore di gelanggang, masih terdapat skrip untuk musim itu dengan keputusan yang telah ditetapkan. Tetapi itu tidak menjadikan pengalamannya kurang menyeronokkan kerana berjuta-juta peminat Lucha masih memenuhi stadium, menonton di TV, dan meraikan Luchadore kegemaran mereka setiap hari. 

Sejarah Lucha Libre di Mexico

Ahli gusti Mexico yang pertama direkodkan ialah Enrique Ugartechea pada tahun 1863 yang membangunkan sukan ini berdasarkan gusti Yunani-Romawi klasik semasa pencerobohan Perancis ke atas Mexico. Sukan ini mula menjadi popular pada tahun 1900-an tetapi benar-benar tersebar apabila Salvador Lutteroth mengasaskan Empresa Mexicana de Lucha Libre (Perusahaan Gusti Mexico) pada tahun 1933.

Sebaik sahaja televisyen memasuki gelanggang, Lucha telah naik ke tali atas dengan pantas. Tidak lama selepas itu, Lucha mempunyai superstar sejati pertamanya: El Santo (The Saint). Rodolfo Guzmán Huerta, dilahirkan di Hidalgo, Mexico sentiasa mempunyai naluri seorang ahli gusti. Pada tahun 1942, beliau memulakan kerjayanya sebagai El Santo dengan memenangi battle royale lapan orang di Mexico City. Dengan topeng perak ikoniknya, El Santo dengan pantas menjadi ahli gusti paling popular di Mexico.

Pada tahun 1950-an El Santo membawa topeng peraknya ke layar perak. Kredit lakonannya yang pertama tiba dalam Cerebro Del Mar (Otak Kejahatan) dan dia akhirnya membintangi lebih 50 filem yang boleh dikatakan menjadikannya tokoh hiburan tunggal paling terkenal dalam budaya Amerika Latin pada abad ke-20.

“El Santo merupakan contoh imej terunggul Lucha Libre,” kata Mariano. “Bukan hanya melalui topeng peraknya tetapi melalui struktur badannya, melalui cara dia bergerak. Dia begitu terkenal sehingga membuat filem dan dia juga mempopularkan topeng gala yang diperbuat daripada bahan berkilat yang lebih premium. Jadi kami cuba menirunya dengan topeng Worlds kerana topeng ini mewakili keanggunan dan Worlds ialah acara yang elegan dan El Santo memainkan peranan besar dalam membawa keanggunan itu kepada Lucha.”

 
riot-games-worlds-2022-lucha-libre-mexico-city

 

El Santo memulakan satu legasi lama Luchadore yang paling popular membawa bakat lakonan, dan peminat-peminat fanatik mereka, ke industri filem. Pada zaman moden ini, Luchadore masih lagi popular seperti sebelumnya. Ramai yang datang daripada keluarga gusti yang melihat keturunan mereka diturunkan di gelanggang. Satu contoh yang ketara ialah keluarga Guerrero.

Gory Guerrero memulakan kerjaya gustinya bersama El Santo di Mexico City pada tahun 1940-an. Empat anak lelakinya, Chavo, Eddie, Mando, dan Hector, kemudian meneruskan tradisi di gelanggang. Kini kami beralih kepada generasi ketiga ahli gusti Guerrero kerana anak perempuan Eddie, Shaul dan anak lelaki Chavo, Chavo Jr., kedua-duanya bertanding di litar profesional.

Dan itu tidak menyentuh sejarah topeng itu sendiri. Walaupun sejarah gusti wujud terutamanya pada abad yang lalu, sejarah topeng Lucha Libre dikatakan bermula sejak zaman Maya dan Aztec yang akan melukis muka mereka sebelum pergi berperang. Apabila ahli gusti mula naik ke gelanggang, topeng berwarna-warni mereka akan meniru cat terang pahlawan asli tersebut.

Dan hari ini, topeng terus menjadi teras Lucha Libre.

“Topeng melindungi identiti seorang Luchadore,” kata Mariano. “Kehilangan topeng anda dalam Lucha adalah aib paling teruk yang boleh berlaku kepada seorang Luchadore bertopeng. Mereka sebenarnya mempunyai perlawanan yang mereka bertaruh untuk kehilangan topeng mereka dan bukannya kejuaraan, dan itu dianggap pertaruhan yang lebih tinggi.”

Dari Mexico Merentas Amerika Latin, dan Seluruh Dunia

Sepanjang tempoh ini, Lucha semakin berkembang. Di AS, WWE menampilkan banyak gerakan yang dipopularkan oleh perintis Lucha Libre. Dan di seluruh Amerika Latin, Lucha masih menjadi pemandangan biasa.

“Saya dari Colombia dan Lucha juga sangat popular di sana,” kata Santiago. “Anda melihatnya di mana-mana, di bandar-bandar besar, dan di bandar-bandar kecil. Mereka akan mengadakan pesta dan enam ahli gusti akan berada di sana untuk membuat pertunjukan. Ia tidak sebegitu popular di Colombia seperti di Mexico yang mempunyai pertunjukan besar setiap hujung minggu. Tetapi ia pastinya masih popular. Begitu juga dengan filem Mexico jadi kami tahu tentang El Santo, kami tahu tentang Blue Demon, seorang lagi ahli gusti yang terkenal kerana kami menonton filem mereka.”

Untuk League of Legends juga, Mexico berada di tengah-tengah Liga Latinoamérica tetapi pemain dalam liga ini, dan peminat yang menonton, datang dari setiap sudut Amerika Latin.

“League of Legends mempunyai peminat-peminat yang sangat bersemangat di Amerika Latin,” kata Santiago. “Kami melakukan usaha tambahan untuk pemain dengan menyetempatkan permainan dalam bahasa Sepanyol yang betul, mempunyai pelakon suara sebenar dan juga memastikan ia disesuaikan untuk pemain Amerika Latin. Itulah yang membezakan kami daripada studio lain.

“Tetapi kami tidak pernah menjadi tuan rumah bagi Worlds,” sambungnya. “Itu adalah untuk AS, untuk Asia, untuk Eropah. Jadi ini, dan bercakap bagi pihak kami sebagai Rioter dan bagi pihak komuniti, rasanya sangat istimewa. Rasanya bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan. Dan peminat bertindak balas dengan begitu banyak tenaga, dengan begitu banyak semangat. Membawa Worlds ke sini mewakili lebih daripada yang anda fikirkan untuk peminat-peminat di Amerika Latin.”

Sama ada di tempat penonton Lucha Libre atau di tempat duduk Artz Pedregal, anda boleh mengharapkan peminat di sini di Mexico City, dan di seluruh Amerika Latin, untuk benar-benar membawa 110% tenaga, semangat dan cinta mereka terhadap sukan ini.

Walaupun Worlds menuju ke New York untuk peringkat kumpulan, tidak dapat dinafikan bahawa pasukan di Mexico City, dan peminat di Amerika Latin, menikmati lawatan pertama Worlds ke rantau ini. Jika terdapat sesuatu yang boleh dijadikan pedoman, ia adalah yang berikut: Mereka mahukan lebih banyak lagi. Lebih banyak e-sukan. Lebih banyak pertandingan. Dan lebih banyak peluang untuk menunjukkan minat mereka terhadap League of Legends.


Pastikan anda mengikuti aksi sepanjang Worlds di lolesports.com untuk mendapatkan jadual terkini, siaran langsung dan kedudukan terkini semasa pasukan League of Legends terbaik di dunia mengembara dari Mexico City, ke New York, ke Atlanta, dan akhirnya ke San Francisco dengan satu pasukan akan mendapat gelaran "One and Only.”