Kreativiti bersemarak pada waktu malam. Tidak kira sama ada melepaskan tekanan selepas bekerja, berjalan-jalan pada waktu malam, atau buah fikiran separuh lelap yang mendorong anda untuk menyimpan buku nota di atas meja katil, ada sesuatu tentang langit berbintang yang memberi inspirasi kepada kreativiti. Bagi Diana, seorang anak yatim piatu bermasalah yang tidak berputus asa menuntut ilmu disinari cahaya bulan, malam ialah rumahnya. 

Sessions: Diana, edisi kedua dalam siri Sessions kami, mencerminkan usaha mengejar ilham kreatif pada waktu malam. Dalam album ini, Diana yang sentiasa berfikir meneroka hutan belantara dengan buku nota di sisinya sambil runut bunyi selama dua jam mengiringi perjalanannya. 

“Sessions adalah tentang kehalusan perikemanusiaan champion kami, bagi dunia dalaman yang mereka miliki,” kata Beckett Snedeker-Short, Ketua Kreatif untuk Riot Games Music. “Ia tentang keasyikan pemikiran dan proses kreatif, iaitu bahagian biasa yang romantis dalam kehidupan. Kami mahu menerokai detik yang intim dan introspektif dalam kehidupan champion ini.” 

 

 

Sessions: Diana menyusuli Sessions: Vi yang telah dikeluarkan pada Julai 2021. Bagi Vi, bersantai kelihatan lebih biasa kepada kebanyakan orang. Dia hanya bermalasan di atas sofa selepas bekerja, dan bagi Vi, ini mungkin melibatkan menumbuk muka orang.

“Vi memberi sekilas pandang tentang cara dia melepaskan tekanan selepas seharian bekerja,” sambung Snedeker-Short. “Sebagai seorang pejuang yang penuh perasaan, dia mempunyai kehidupan yang kita semua sudah biasa lihat dengan wataknya. Tetapi apa yang menyeronokkan bagi kami ialah sisinya yang berbeza dan tidak dijangka yang jarang dapat ditunjukkan dalam detik muzik bombastik yang besar. Jadi, Vi adalah tentang saat melepaskan tekanan harian, manakala Diana adalah tentang melepaskan diri daripada halangan kreatif dengan pergi berjalan-jalan pada waktu malam.”

Animasi untuk Vi dan Diana dilakukan oleh The Line, satu studio animasi dari UK yang juga telah terlibat dalam pembuatan Giants oleh True Damage dan Die For You VALORANT Champions. Walaupun animasi Vi berulang, animasi Diana mengikut laluan yang lebih linear sambil dia mengejar ilham, ditemani oleh lunarling pada waktu malam sebelum mendapati dirinya berada di puncak gunung pada waktu subuh.

Namun di sebalik champion yang ditumpukan, teras Sessions ialah muziknya. Dalam bahasa harian, jenis muzik ini sering dipanggil lofi, kependekan untuk fideliti rendah. Fideliti rendah pada asalnya dikaitkan dengan ketidaksempurnaan dalam rakaman, tetapi sejak beberapa dekad yang lalu, lofi telah dikaitkan terutamanya dengan muzik santai dengan tempo perlahan yang sering dijumpai di bawah tag lofi hiphop atau chillhop.

“Sukar untuk mentakrifkan lofi dan itulah yang menjadikannya sangat hebat,” kata Joe Schlamme, penerbit untuk pasukan muzik. “Ia benar-benar seperti kanvas, ramai orang berbeza boleh mendengar lagu yang sama tetapi mereka akan menjiwainya dengan cara yang berbeza. Kami lebih menumpukan pada mencipta peluang untuk hubungan emosi yang unik itu daripada mencipta muzik yang terikat pada genre tertentu.”

Genre ini, walau apa pun label yang anda ingin berikan, menarik kerana beberapa sebab. Walaupun sangat popular, ia sering didengari dalam blok selama berjam-jam pada skrin atau tab kedua. Ini menghasilkan artis yang, walaupun didengari oleh berjuta-juta orang, namun tidak begitu terkenal. Sessions direka bentuk untuk menyediakan platform untuk artis tersebut, dengan setiap edisi baharu membawa kembali artis terdahulu dan mengalu-alukan artis baharu. Secara keseluruhan, 25 artis menyumbang kepada Sessions: Diana, satu gabungan artis yang terlibat dalam Sessions: Vi dan artis baharu yang bunyi uniknya sesuai untuk perjalanan Diana.

“Seiring perkembangan visual dan temanya, kami juga mahu mengembangkan muziknya dan melakukan sesuatu yang berbeza dengan setiap keluaran,” kata Schlamme. “Dengan Diana, kami membawa masuk sekumpulan artis baharu yang berbakat dan membawa pengaruh daripada chill-wave / synth-wave. Ini memberi kami peluang hebat untuk menggabungkan gaya yang berbeza-beza ini, lalu mencipta perjalanan muzik yang dinamik untuk Diana.”

Sifat Sessions yang bebas genre ini boleh mencetuskan pelbagai jenis perasaan yang memberi kesan. Ia boleh memberi inspirasi, menaikkan semangat, menenangkan atau memotivasikan bergantung pada orang itu dan mood mereka. Tetapi selain fungsi kognitif, Sessions juga mempunyai fungsi yang lebih praktikal untuk para pencipta. Sessions adalah bebas hak cipta sepenuhnya. Mana-mana penstrim boleh memainkan muzik ini semasa mereka bermain permainan, mencipta seni atau bercakap dengan komuniti mereka tanpa perlu risau tentang kemungkinan bantahan hak cipta.

Sebelum Diana dan Vi, itulah tumpuan asal Sessions: memberikan para pencipta kandungan muzik yang boleh mereka gunakan tanpa apa-apa syarat. Untuk penulis, artis dan pelajar, muzik ini boleh memberi inspirasi. Untuk penstrim dan YouTuber, ia menyediakan satu sumber selamat yang boleh digunakan pada bila-bila masa mereka memerlukan sesuatu di latar belakang.

“Teras kebenaran utama Sessions adalah ia harus selamat dan bebas untuk digunakan untuk para pencipta,” Schlamme meneruskan. “Kami benar-benar mahu sentiasa prihatin terhadap keperluan ruang para pencipta. Sessions ialah permulaan yang baik dalam menyediakan katalog muzik, tetapi kami ingin mengembangkannya untuk menyokong para pencipta di dalam dan di luar ekosistem kami. Menjadi seorang pencipta kandungan adalah satu dunia baharu dengan banyak kemungkinan kesulitan yang tidak dijangka. Pada masa ini, Sessions memberikan sejumlah kecil keselamatan tetapi kami mahu mengambil jumlah yang kecil itu dan membangunkan satu komuniti dan senarai kandungan yang menyokong para pencipta untuk jangka masa panjang.”

Sessions telah berkembang daripada Vi kepada Diana dan akan terus berkembang pada masa depan. Daripada visual hinggalah kepada muzik dan inisiatif sekitarnya, masa depan Sessions terbuka seperti langit dari puncak Gunung Targon.

“Kami agak bebas. Kami boleh mengambil satu watak dan membuat tafsiran sendiri terhadap watak itu,” kata Snedeker-Short. "Kami tidak terikat dengan produk lain dengan jangkaan yang berasingan. Oleh itu, kami mempunyai sangat banyak fleksibiliti dalam watak yang kami pilih, cara kami mentafsir mereka, cerita yang ingin disampaikan, gaya visual yang mahu digunakan dan bagaimana muzik akan melengkapkan semua itu. Kami sudah menerima banyak komen yang meminta watak ini dalam latar ini. Fleksibiliti dan sifat mudah dikawal merupakan ciri Sessions yang paling hebat dan memberi kami begitu banyak ruang untuk berkembang dan bereksperimen. Setiap album boleh terasa seperti lubuk inspirasi yang tersendiri.”

“Sessions, pada terasnya, adalah satu sambutan kreativiti,” tambah Schlamme. “Ia meraikan kehidupan sebagai manusia dan suka duka harian yang datang dengan kehidupan.”

Dengan Sessions, kreativiti merupakan konsep dan juga hasil. Sama ada anda seorang penerbit yang ditugaskan untuk menyelami perasaan kolam yang diterangi cahaya bulan, seorang penstrim yang mahu mengekalkan keaktifan minda untuk mengekalkan rentak kemenangan mereka, atau salah satu daripada berjuta-juta orang yang hanya memerlukan sedikit kreativiti untuk bergerak ke hadapan, Sessions akan sentiasa di samping anda, selangkah demi selangkah yang diterangi bulan.